Ulasan "youngscientist" di blog Teressa Kok
Ada beberapa persoalan yang bermain di fikiran saya selepas pengumuman kelulusan projek tenakan babi sebanyak 100juta di Selangor. Soalan tersebut adalah:-
1)Betulkah teknologi moden dalam penternakan babi itu telah ada, telah dijalankan kajian dan telah diuji? Menurut Menteri Besar Selangor, teknologi moden tersebut adalah :-
i) sistem biogas di mana ia digunakan sebagai sumber elektrik
ii) air akan dikitar semula untuk kegunaan di ladang itu
iii) najis babi akan dijadikan baja untuk penanaman makanan itu babi.
Jika diteliti, ianya bermaksud segala bahan buangan babi itu akan dikitar, digunapakai semula dan tidak akan menjejaskan kawasan lain.
Oleh itu, saya mahu YB Menteri Besar, Teresa Kok dan barisan Exco yang lain mengemukakan bukti kajian yang dijalankan oleh saintis bahawa najis babi boleh menghasilkan arus elektrik. Jika ada, berapa amaun elektrik yang dihasilkan oleh najis babi itu? Adakah ianya mencukupi untuk menjana elektrik di ladang babi moden itu? Sistem kitaran, pembersihan dan perawatan air yang bagaimana yang digunakan? Betulkah semua teknologi itu efektif, konsisten dan telah diuji keberkesanannya? Ingatlah bahawa kami rakyat Selangor ini, bukannya rendah intelektual (terima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang pendidikan) dan hanya menerima sahaja kenyataan pemimpin tertinggi. Kami tidak perlu dikaburkan dengan perkataan teknologi moden untuk menutup mulut kami supaya bersetuju dengan projek ini.
2)Kenapa ternakan babi yang diutamakan? Apakah tujuan projek ladang babi tersebut? Untuk kegunaan makanan rakyat tempatan yang berketurunan Cina atau untuk menjadikan Malaysia (negara Islam) pengeksport terbesar daging babi? Adakah kerajaan Selangor ingin pendapatan daripada hasil babi? Jika untuk kegunaan makanan mereka sahaja, bilangan ladang yang ada ini pun sudah lebih dari mencukupi. Buktinya kerajaan terpaksa menghapuskan sejumlah besar babi yang terdapat di Negeri Sembilan dan Melaka kerana mendatangkan kesan yang sangat teruk pada alam sekitar. Tidak ingatkah kita pada virus Japanese Encaphalitis yang merupakan virus bawaan babi yang mengorbankan banyak nyawa termasuk penternaknya sekali? Kita perlu mengambil pengajaran dari peristiwa lampau. Buat sesuatu yang dapat memberi faedah kepada penduduk.
3)Kenapa di Sepang? Bukankah di Sepang itu pintu masuk utama bagi negara Malaysia. Kita tidak mahu apabila pelancong tiba di Malaysia, mereka disambut “mesra”dengan babi-babi ini.
Saya berharap pemimpin tertinggi dapat mendengar suara rakyat. Salah satu faktor kekalahan UMNO pada PRU-12 adalah kerana sikap mereka yang mengabaikan dan memandang rendah suara rakyat. Oleh itu, “jangan terhantuk baru tengadah”. Kami sebagai rakyat sentiasa menyokong kepada barisan kepimpinan yang mengutamakan rakyat daripada mementingkan diri sendiri.