Malaysia merupakan negara
- >>pelbagai bahasa/dialek
- >>pelbagai kaum
- >>pelbagai aliran sekolah/pendidikan
- >>pelbagai agama
- >>pelbagai budaya
- >>pelbagai parti politik
- >>pelbagai pusat pengajian tinggi
Daripada kepelbagaian tersebut, aspek-aspek yang mampu mewujudkan
"bangsa Malaysia" yang bersatu, termasuklah bahasa, parti politik dan
dan pendidikan.
Dalam perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, dicatatkan, antara lain, Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, yang sekali gus berfungsi sebagai bahasa perpaduan, bahasa penghantar pendidikan, dan bahasa pentadbiran.
Dalam Penyata Razak dan Rahman Talib, peranan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran, di samping sebagai bahasa perpaduan dan pentadbiran negara, diperkukuh lagi.
Seterusnya, dalam pengajaran dan pembelajaran, khususnya di Semenanjung, bahasa Melayu/kebangsaan dijadikan bahasa pengajaran dan pembelajaran pada 1957 secara berperingkat di sekolah rendah dan menengah, sebagai usaha menggantikan aliran bahasa Inggeris, lantas di peringkat pengajian tinggi, sebagai bahasa penghantar mulai 1983.
Di Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu agak lewat menjadi bahasa pengajaran dan pembelajaran, dan hanya diusahakan sepenuhnya mulai 1983 dan 1985.
Aspek budaya, diusahakan dengan mewujudkan budaya kebangsaan yang berteraskan budaya Melayu.
Bagi merealisasikan cita-cita perrpaduan menerusi bahasa, pendidikan dan kebudayaan, Parti Perikatan diwujudkan yang mewakili tiga kaum terbesar, iaitu Melayu (Umno), MCA (Cina), MIC (India). Parti Perikatan kemudian dijadikan Parti Barisan Nasiona/BN, apabila sejumlah parti yang mewakili suku-suku kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak bergabung. Selepas 1990, parti Umno pula bertapak di Sabah, hingga kini berjaya mengukuhkan kedudukan UMno di Semenanjung sebagai parti utama dalam BN.
Dalam soal perpaduan nasional, atau "integrasi nasional", atau "perpaduan kebangsaan", atau apa-apa istilah yang bermaksud mewujudkan "bangsa Malaysia yang satu" terus diusahakan sejak 1957, hingga kini! Dalam kempen PRU-12 lepas pun, pihak kerajaan (BN) beratus-ratus kali kedengaran menggunakan seruan kata "perpaduan". Cuma, sesakali menggunakan gabungan kata "bangsa Malaysia".
Apa pun, selaras dengan usaha tersebut, nampaknya kerajaan BN gagal kerana terus membenarkan kewujudan aliran-aliran sekolah Cina dan Tamil, yang adakala semacam "bersaing" dengan sekolah kebangsaan, yang menggunakan bahasa Melayu. Sudahlah demikian, kerajaan BN terus pula memberikan bantuan kewangan dan sokongan lain demi kelancaran persekolahan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya.
Pendirian seumpama, memang difahami untuk menjaga kepentingan parti-parti yang bergabung dalam BN. Dalam hal ini, usaha kerajaan, yang didukung Umno untuk mengekalkan perpaduan, seolah-olah "perlu diubah suai" menurut kecondongan parti-parti yang mewakili dua kaum lain.
Barangkali, inilah antara sebab yang perpaduan nasional atau "bangsa Malaysia" sukar dicapai sepenuhnya lantaran sejak kecil anak-anak daripada pelbagai kaum sudah disalurkan sama ada belajar di sekolah kebangsaan, atau pun di sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil. Yang pasti anak-anak Melayu ke sekolah kebangsaan. Anak-anak Cina dan India lebih cenderung belajar di sekolah Cina atau Tamil.
Rosotan kuat terhadap dasar pendidikan kebangsaan, berlaku, apabila bahasa Melayu yang sekian lama berjaya menjadi bahasa pengajaran dan pembelajaran bagi semua subjek (sastera, sains, matematik, pengurusan, dan seumpama), hingga mampu melahirkan lulusan Ph.D dalam bahasa Melayu, diubah pula fungsinya mulai 2003, iaitu subjek sains dan matematik "mesti" disampaikan dalam bahasa Inggeris.
Banyak kalangan pakar pendidikan membantah usaha tersebut, kerana terbukti bahasa Melayu berjaya digunakan dalam pengajaran pelbagai subjek. Malah kita patut berbangga terhadap kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, bahasa perpaduan dan bahasa pengajaran dan pembelajaran.
Bahasa kebangsaan kita setaraf kedudukan bahasa kebangsaan dan bahasa untuk pengajaran dan pembelajaran seperti bahasa Melayu di Indonesia, bahasa Mandarin di Taiwan dan Republik China, bahasa Rusia di Republik Soviet, juga bahasa-bahasa kebangsaan/nasional lain seperti German, Peranchis, Arab, Thai dan Jepun.
Nampaknya kerajaan BN sendiri yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, bahasa pengajaran dan pembelajaran atau bahasa pentadbiran. Kini, kebanyakan rakyat, terutama pelajar Melayu, yang semakin "membenci" subjek Sains dan Matematik kesan pertukaran mendadak bahasa penghantar.
Malah, dalam kalangan pemimpin BN sendiri sudah pun disuarakan usaha untuk menyemak balik dasar penggunanan bahasa kebangsaan bagi pengajaran dan pembelajaran di semua peringkat persekolahan dan pengajian di Malaysia.
Maka, ternyata BN masih belum berjaya mewujudkan bangsa Malaysia dan perpaduan yang mula dilaung-laungkan sejak era Tunku Abdul Rahman, perdana menteri pertama.
Lantas, di samping parti-parti BN kini tengah berkeadaan kelam kabut memikirkan dan membincangkan punca kemerosotan pengaruh dalam PRU-12, mereka juga, sepatutnya segera menyemak kembali, iaitu adakah kesegeraan dan keberkesanan usaha mewujudkan "bangsa Malaysia" hanya menjadi kenyataan sekiranya anak-anak pelbagai kaum semua belajar di sekolah aliran kebangsaan, iaitu menggunakan bahasa Melayu?
(Bahasa-bahasa lain, seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Jepun, bahasa Thai, diajar sebagai satu subjek pilihan). Ini samalah sebagaimana dasar pendidikan kebangsaan yang asal (tahun 1983-2002).
Justeru, Parti-parti PKR, PAS dan DAP yang membentuk Gabungan Parti Rakyat Malaysia di beberapa negeri kini, sepatutnya segera merealisasikan usaha BN yang :gagal" ini, iaitu membentuk "bangsa Malaysia" menerusi dasar parti untuk semua kaum, bahasa Meleyu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi dalam pengurusan dan pentabiran.
Saya yakin, dengan pengalaman Datuk Seri Anwar Ibrahim/DSAI selaku Menteri Pendidikan Malaysia (1987-1991), dan kecintaan DSAI terhadap penggunaan bahasa Melayu baku, kebudayaan Melayu , kesusasteraan Melayu, di samping pengalaman menyatukan pelbagai kaum di Malaysia ketika beliau menjawat Timbalan Perdana Menteri Malaysia (1993-1997), kebangkitan gabungan parti alternatif (PKR, PAS, DAP) yang diperkasakan DSAI kini, mampu mewujudkan bangsa Malaysia yang mendukung "satu negara, bahasa, satu budaya, satu ccita-cita".
Saya percaya, jika "bangsa Malaysia" dapat dijelmakan, ia merupakan antara cara dan tindakan Parti Gabungan PKR, PAS, DAP berjaya mengembangkan payung pemerintahan di Malaysia.
Apa lagi kehendak rakyat pelbagai kaum di Malaysia, selain wujudkan "bangsa Malaysia" yang merdeka, adil, saksama.
Wallahualam
Dr. Sulaiman Masri